Tips simpan udang isi tak lembik dan lembut

 "Tips simpan udang isi tak lembik dan lembut".


Dulu-dulu Bos Cina saya bagi petua. Kalau nak simpan udang tahan lama & fresh isinya, taburkan gula sebelum simpan dlm peti ais.

Saya ikut petua nie dr dulu. Mmg betul isi udang tak lembik2 & lembut. Korang kalau nak cuba, boleh cuba."

Kredit: FB: Zai Norizah

Petua masakan macam-macam orang kongsikan. Hari ini saya kongsikan penjelasan saintifik ringkas disebalik petua-petua macam ini. Untuk ilmu kita semua.

Pengawetan makanan adalah proses untuk menjadikan makanan tahan lebih lama (kualiti, rasa dan zat nutrisi). Proses ini bertujuan untuk mencegah pertumbuhan bakteria, yis atau mikroorganisma lain. Namun terdapat beberapa proses pengawetan menggunakan mikroorganisma seperti dalam pembuatan cheese, yogurt, tempe dan lain-lain.

Pengawetan makanan juga melibatkan proses menghalang aktiviti pengoksidaan (proses tindakbalas asid lemak politaktepu dengan oksigen) yang menurunkan kualiti visual konsumer. Sebagai contoh, pengoksidaan lipid (cth: lemak) menyumbang kepada kemerosotan kualiti daging. Dari segi visual, kita akan nampak warna daging berubah. Bukan itu sahaja, rasa, tekstur dan nutrisi daging juga akan merosot, menyebabkan konsumer tidak memilih untuk beli atau makan.

Pelbagai cara mengawet makanan antaranya pendidihan, penjerukan, pembungkusan vakum, pengeringan, penyejukbekuan, pengasinan, pelilinan, pempasteuran, penyelaian, pengetinan dan pembotolan. Secara amnya, makanan diawet ini digunakan atau makan oleh kita hampir setiap hari.

Terdapat satu hantaran di FB memberi petua mensaluti udang dengan gula. Isi udang tidak lembik dan masih segar sebelum dimasak. Ini adalah salah satu cara pengawetan makanan. Gula digunakan sebagai agen pengawet. Kepekatan gula menyebabkan bakteria hilang air dari sitoplasma melalui osmosis. Tanpa air sel bakteria tidak boleh membahagi atau tumbuh.

Selain itu, bakteria juga menggunakan gula (glukosa) sebagai makanan sebelum ianya menggunakan protein (asid amino). Proses ini dikenali sebagai glikolisis. Penguraian berenzim suatu karbohidrat yang membebaskan tenaga dalam bentuk adenosinatrifosfat (ATP) dan pembentukan asid laktik.

Dalam bahasa mudah, bakteria makan gula dulu sebelum dia makan isi/daging (protein). Jadi keadaan isi/daging yang masih segar kerana terjadi kerana ianya belum dirosakkan oleh bakteria.

Ada yang mendakwa mensaluti gula ini satu petua orang Cina, ada kata Melayu, tidak lupa juga India. Sebenarnya yang menjadikan isi/daging itu elok bukan bangsa, tetapi bahan yang digunakan untuk mengawet. Tidak kira lah gula, garam, rempah dan bahan kimia lain, tujuan mereka adalah sama, iaitu memanjangkan jangka hayat makanan untuk kegunaan manusia.

Mohd Zharif Ramli
210623

Comments

Popular posts from this blog

Kehidupan Baru di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli

Voucher Buku 1 Malaysia..

SUMPAH ORANG MELAYU.........